Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu 
seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi 
menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". 
Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan 
Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau 
ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan 
memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi 
Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi 
Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar 
laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi 
Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia 
melaporkan kepada Nabi Sulaiman. 
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi 
Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi 
Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama 
kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut 
mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat 
daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu 
ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. 
Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam 
kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas. 
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke 
darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut 
dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah 
tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di 
dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke 
darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada 
pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya 
apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan 
dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu 
bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu 
merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah 
berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang 
kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah 
kepadanya. 
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk 
melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam 
kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut 
bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda 
tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya 
selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang 
buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan 
memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat 
kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula 
meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah 
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang 
diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya 
di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan. 
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika 
pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang 
terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . 
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja 
ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan 
tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya 
memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu 
memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada 
orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala 
makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat 
itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke 
dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah 
sehingga hari ini. 
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam 
kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula 
memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman 
menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu 
empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa 
muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman 
bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh 
Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat 
asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman 
pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya. 
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada 
kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah 
betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya 
dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi 
Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana 
telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.